28/09/11

Cara Jual Beli Emas Mengikut Hukum Syariah

Salah satu emel yang saya terima antaranya ditulis begini:
Dari apa yang saya baca dalam blog Pakdi, correct me if I am wrong, nampaknya pelaburan dengan membeli emas fizikal, walaupun kita tak mengambilnya, adalah sah dari hukum Shariah. Ini bermakna, setakat ini cuma KFH Gold Account-i yang boleh di katakan yang betul-betul mengikut hukum Syariah ye?
Jawapan saya seperti di bawah:
1. Hukum jual beli emas disebut jelas dalam hadis yang menyatakan pembelian emas perlu dibuat secara tunai.

2. Apa yang dimaksudkan ‘tunai’ adalah seperti berikut. Dalam sesi jual beli, penjual menjual 10g emas dengan harga RM 1,200.Maka penjual dapat wang tunai RM 1,200 dan pembeli mendapat 10g emas. Tiada penangguhan. Maksudnya, tidak boleh bayar duit dulu, pos emas kemudian. Tidak boleh dapat emas dulu, bayar duit ansur-ansur. Dan yang sama waktu dengannya.

3. Sekiranya kita tidak jual beli emas secara tunai, maka kita telah terlibat dengan amalan riba yang dilarang keras oleh Allah swt dan Rasul-Nya.

4. Melalui pengalaman saya sendiri, KFH menjual emas. Produknya distruktur seolah-olah seperti General Investment Account (GIA). Ia bermaksud, apabila KFH jual emas kepada kita, sebagai pelanggan kita memilih untuk ambil emas  fizikal yang mereka jual atau simpan sahaja dengan mereka.

5. Kalau di Malaysia, setakat artikel ini ditulis, hanya KFH sahaja mempunyai produk akaun emas yang Shariah-compliant. Itu kalau dijual oleh bank. Manakala, syarikat yang menjual emas saya tidak pasti sejauh mana syarikat-syarikat tersebut mengawal aktiviti jual beli emas agar patuh Syariah.

6. Seterusnya, pembelian kontrak gold futures (pasaran hadapan emas) adalah tidak Shariah-compliant.

7. Pembelian emas dengan kad kredit riba juga bermaksud kita sudah terlibat dengan riba dua kali. Satu riba pakai kad kredit riba, riba kedua sebab berhutang beli emas.

8. Manakala, pembelian emas dengan ‘kad kredit’ dari yang Shariah-compliant iaitu kad yang menggunakan kontrak bai’ inah atau kontrak tawarruq adalah dibolehkan kerana kedua kontrak ini menghasilkan tunai kepada pengguna kad, dan duit tunai tersebut sudah ada dalam akaun wadiah yang khas.

9. Cek, yang punya cukup wang dalam akaun semasa juga adalah salah satu bentuk ‘tunai’ yang diterima oleh Islam.

10. Walau bagaimana pun, kaedah ‘lock’ harga emas yang banyak diamalkan sekarang adalah satu bentuk riba. Riba ini datang dari larangan hadis shahih Nabi saw yang direkodkan dari Ubadah b Samit, dikenali sebagai riba nasi’ah atau riba yang disebut dalam Sunnah.

 

11. Riba bukan sahaja mengenai pinjaman dan hutang, riba juga ada dalam transaksi emas, perak dan makanan ruji seperti gandum, barli, tamar dan garam.

12. 6 komoditi ini adalah barangan ribawi yang mempunyai syarat jual beli yang berbeza dengan komoditi lain. Majoriti ulama menyatakan ‘illah barangan ribawi adalah matawang dan makanan ruji. Justeru, apa-apa matawang dan makanan ruji tertakluk kepada syarat jual beli yang ditetapkan oleh Islam bagi memastikan bebas dari riba.

13. Ulama semasa ada mencadangkan kaedah yang patuh Shariah untuk mendapatkan emas (termasuk perak dan matawang) yang belum ada; atau untuk tujuan dapatkan harga yang kita suka (hedging misalnya), tetapi bukan dengan kaedah yang sedia ada seperti yang diberitahu kepada saya.

14. Maka berhati-hati dalam keghairahan mahu terlibat dalam ‘pelaburan emas‘ , jangan sampai terlibat dengan riba. Seperti kata Tun M, matawang bersandarkan emas hanya jadi Islamik sekiranya bebas riba. Beliau betul kerana riba juga boleh wujud dalam emas.

15. Riba berkait pinjaman dan hutang disebut dalam al-Quran, dan riba berkaitan emas, perak dan matawang disebut dalam as-Sunnah. Itulah jenis riba yang wajib kita jauhi sekiranya kita beriman dan bertaqwa.

Sumber : http://www.pakdi.net

1 ulasan:

  1. Terima Kasih diatas info diatas..mohon makluman ini dikongsi bersama di http://www.usahawanemas.net dan http://www.usahawanemas.com.my.terima kasih

    BalasPadam